Masa bergerak begitu pantas.Setiap kali masa bergerak, setiap kali itulah umur kita meningkat. Kita bagaikan meniti usia. Meniti sebuah kehidupan. Melayari suatu impian. Apakah yang sebenarnya kita cari?
Ada orang percaya kepada sebuah impian. Kata mereka, kita harus ada impian terlebih dahulu. Kemudian barulah datangnya kenyataan. Namun,ada pula yang kurang mempercayainya. Kata mereka impian hanyalah penghias hidup. Impian hanyalah angan-angan kosong. Apapun, kehidupan mestilah kita teruskan. Lalu, mahu atau tidak, kita bagaikan mencari sesuatu. Pencarian itu tidak akan berhenti jika kita masih bernafas. Apakah pencarian yang kita impikan itu tercapai? Atau apakah ia sekadar impian semata-mata?
Kita adalah kita. Dalam diri kita ada akal dan fikiran. Dalam hidup kita ada perasaan dan emosi. Kitalah yang seharusnya mengatur segala langkah kita. Kitalah yang sebetulnya mengemudikan kehidupan kita. Kitalah tuan yang sebenarnya kepada tubuh badan kita. Jika kita tidak berupaya memerintah diri kita, mana mungkin kita akan berupaya mengawal diri kita!
Ada tiga perkara yang harus anda fikirkan.
• Pertama, jika ada impian yang anda impikan, tetapkan matlamatnya. Kemudian bertanyalah kepada diri sendiri, adakah impian itu benar-benar berguna. Tanyalah juga , adakah impian itu boleh dicapai. Bagaimanakah untuk mencapainya.
• Kedua, jika ada perkara yang anda ingin lakukan, lakukannya. Terus lakukan segera. Jangan ragu untuk anda lakukannya. Lakukan dengan sebaik mungkin. Tanyalah pada diri anda, adakah perkara yang anda ingin lakukan itu mendatangkan kebaikan. Kalau tidak jangan lakukan!
• Ketiga, postitifkan fikiran negatif. Jika kita selalu berfikiran negatif, lambat laun kita akan hanyut. Jika kita berada di ambang kehanyutan, impian dan cita-cita akan terus terhanyut.
Jadikan kehidupan ini sebagai kehidupan yang sentiasa baru. Setiap hari harus ada perubahan. Perubahan itu mestilah yang positif belaka. Perubahan inilah yang sebenarnya memandu kita ke arah kecemerlangan.
Ada kalanya, ada orang yang tidak mahu perubahan. Bagi mereka, perubahan akan menghancurkan diri. Tetapi awas! Bila kita tidak mahu mengubah diri, maka kita akan diubah oleh keadaan. Hidup kita akan dikawal oleh keadaan.
Sebenarnya, kita ada kekuatan yang tersendiri. Kita ada tenaga yang tersendiri. Kekuatan untuk melakukan transformasi diri sebenarnya ada dalam diri kita. Namun, keadaan yang mengjadi penghalang kepada sesuatu perubahan. Kemelut hidup yang membuat kita seolah-olah tidak berdaya. Kita bagaikan tidak bertenaga untuk meniti sebuah perubahan.
Jadi baghaimanakah cara kita mengatasinya. Kita sebenarnya dibekalkan dengan kesedaran. Kesedaran inilah yang akhirnya akan mengawal selia segala kelemahan yang ada pada diri kita. Kesedaran ini yang akan berupaya mengembalikan kekuatan dan tenaga. Kesedaran yang akan membuat kita berfikir bahawa kegagalan itu bukan segala-galanya. Kegagalan bukanlah yang akhir terhadap segala-galanya.
Belajarlah dari pengalaman hidup. Ia guru kepada kita. Ia menjadikan kita cepat faham. Ia merangsang kita berfikir. Sama ada pengalaman diri sendiri atau pengalaman orang lain ia tetap aset yang berguna. Aset inilah yang akhirnya memperkaya hidup kita. Akhirnya kita akan dapat menentukan perubahan yang hendak kita lakukan.
Dalam diri kita, harus ada jiwa kepimpinan. Jiwa inilah yang akan memerintah diri kita daripada melakukan atau tidak melakukan sesuatu. Jika kita tidak ada jiwa kepimpinan, kita bagaikan hilang kemudi. Kita bagaikan belayar tanpa destinasi. Hidup akan dibelenggu keadaan yang tidak menentu. Lalu, kita akan terus hanyut dan hanyut. Hanyut dibawa arus yang deras.
Orang yang tidak dapat memimpin diri sendiri, tidak akan berupaya untuk memimpin orang lain. Orang inilah yang akan mendatangkan masalah kepada penghuni lain di dunia ini. Golongan inilah yang akan mencetuskan pelbagai pancoroba di dunia ini.
Dalam meniti kehidupan, campakkanlah sikap dan sifat berikut:
• Tidak bersemangat dan selalu kecewa
• Merasa beban hidup yang terlalu berat
• Tertekan dek perasaan
• Mudah menyerah sebelum mencuba
• Tidak percayakan diri sendiri
• Tidak berani mengambil risiko
Binalah satu pasarana hidup yang sempurna melalui usaha-usaha tertentu. Selalulah bertanya diri sendiri dengan soalan-soalan seperti yang berikut:
• Apakah impian yang ingin dicapai?
• Bagaimana kebahagiaan diri dapat dicari?
• Apakah yang dicari dalam hidup ini?
• Adakah hidup yang dimiliki sekarang bererti?
Hari ini, ciptakanlah satu perubahan. Segeralah lakukannya. Perubahan hidup harus sentiasa ada. Perubahan harus berpaksikan kemajuan. Perubahan harus ke arah yang boleh membantu memperbaiki diri sendiri dan orang lain. Hidup mesti sentiasa baru!
Wednesday, January 21, 2009
KEHIDUPAN BARU
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment