Tuesday, December 23, 2008

INDAHKAN HIDUP ANDA!

Perhatilah bunga. Ada yang kembang mekar Ada yang kembang mewangi. Tak kurang yang kembang berseri-seri. Mekar mewangi menjadikan bunga itu kelihatan berseri-seri. Menawan dan menarik Pun begitu terdapat pula bunga yang layu. Layunya ia sebelum berkembang! Kenapa terjadinya demikian?

Hidup manusia pun begitu. Ada ketika kita gembira. Ada waktunya kita bertenaga. Tidak kurang juga yang bersemangat. Pun begitu, terdapat pula yang tidak gembira dan tidak bertenaga lalu menjadikan mereka tidak bersemangat. Hidup bagaikan satu kekosongan. . Kenapa ini harus berlaku?

Hidup hanya sekali. Matipun hanya sekali. Hidup akan bermakna jika kita ada pegangan. Kita berpegang perkara yang benar. Kita berpegang kepada prinsip yang betul. Maka jadikanlah hidup kita seindah yang mungkin. Berseri bak bulan purnama Sesegar embun pagi. Sewangi bunga cempaka.Jadikan mati kita juga bermakna. Mati meninggalkan nama. Bukan meninggalkan tembelang!

Benarlah kata pepatah bahawa dunia ini hanya pinjaman. Dipinjamkan sebentar kepada manusia. Dipinjamkan seketika untuk kita hidup. Maka dunia inilah pentas sebuah kehidupan. Dunia inilah tempat kita melayari hidup. Sama ada hidup jadi indah atau tidak bergantung kepada kita semua. Kita bagaikan pelakon. Melakonkan pelbagai watak. Ada watak baik. Tak kurang pula watak jahat. Watak baik mendatang manfaat. Watak jahat mendatangkan mudarat.

Sudah pasti kita diberi pilihan. Pilih hidup indah. Atau pilih hidup tidak indah. Pilihan ini ada kaitannya dengan matlamat hidup kita. Ini kerana kita sering terdengar manusia lebih gemar memilih watak-watak tidak baik di pentas dunia ini.. Watak-watak inilah yang sangat popular. Akan tetapi, manusia lupa akan kesengsaraan. Lupa pada kesusahan. Lupa akan kemusnahan.

Perkara yang jahat gemar dilakukan.Tipu sana tipu sini. Curi sana curi sini. Bergaduh pula sesama sendiri. Bermasam muka dengan banyak orang. Tidak bertegur sapa dalam waktu yang berpanjangan. Bermusuhan sesama saudara. Menfitnah sana-sini. Apakah erti semua ini? Hidup tentu tidak akan indah!

Kenapa tidak jadikan hidup kita indah? Indah di mata indah pula di hati. Indah di mata kita indah lagi di mata orang lain! Bagaimanakah cara untuk mengindahkan hidup kita?
• Anda mesti fikirkan apa yang ingin anda cari dalam hidup anda.
• Anda mesti tahu bagaimana mencapainya.




Untuk mencari keindahan dalam hidup anda bukanlah sesuatu yang menyukarkan. Yang sukar ialah bagaimanakah cara untuk mengindahkan hidup anda. Kadang-kala kita terlupa untuk memikirkan bagaimanakah cara yang sepatutnya untuk kita mengindahkan hidup kita. Ada beberapa faktor keadaan ini berlaku.
• Kita terlalu sibuk dan leka dengan tugasan harian sehingga kita tidak mengutamakan apa yang sebenarnya kita cari dalam hidup ini.
• Kita tidak pernah ada pegangan hidup

Jadi, fikirkanlah sesuatu yang indah. Fikirkan keindahan untuk mengisi hidup anda. Ada beberapa contoh untuk anda fikirkan. Antaranya:
• Punyailah ramai rakan dan kenalan
• Impikan kesenangan dan kemewahan
• Dekati diri dengan tuhan
• Jadikan diri disenangi ramai
• Impikan kesihatan dan kesejahteraan yang berpanjangan

Ingat! Doa itu indah. Doa itu suatu permohonan daripada Yang Maha Esa. Berkat atau tidak doa kita bergantung kepada kesungguhan dan keikhlasan. Berdoalah selalu. Berdoalah apa yang kita hajati. Mohonlah dengan penuh kesungguhan dan kesabaran. Sokonglah permohonan kita dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Lipat ganda usaha selalu. Pun begitu, berdoa tanpa usaha tidakakan mendatangkan apa-apa makna.

Hidup tidak akan indah jika kita sepi. Hidup tidak indah jika hati kita kosong. Kita bagaikan layu sebelum berkembang. Kita bagaikan mati sebelum ajal. Kita kesunyian kerana kita dibelenggu kesepian. Kadang-kala kita memerlukan rakan untuk bercerita. Jika kita kekurangan rakan atau sahabat, hidup kita bagaikan suram dan tidak indah. Carilah rakan atau sahabat yang sesuai. Rancanglah strategi yang baik untuk mendapatkan rakan atau sahabat yang ramai.

Hidup tidak indah jika kita sering kekusutan. Kusut kerana kemampuan kewangan yang terhad. Kusut kerana pendapatan kita yang sering tidak cukup. Belum sampai cukup bulan, wang sudahpun kehabisan. Lalu jadilah hidup kita serba tidak menentu. Kita gagal menempatkan diri kita di sebuah zon kehidupan yang selesa.Jika ini terjadi, susun langkah dan strategi yang sesuai. Cari jalan bagaimanakah untuk meningkatkan pendapatan yang halal. Jika ini tidak diatasi, sesuatu yang indah hanya akan tinggal impian semata-mata.

Dekatilah diri dengan Yang Maha Esa. Kita perlu memohon kepada Nya. Kita perlu menyatakan hasrat kita kepada Nya. Hidup akan pasti menjadi indah jika kita diberkati Tuhan. Jauhi larangan Tuhan. Dekati diri dengan apa yang diperintah. Jika dua perkara ini diamalkan, hidup pasti akan ada cahaya. Cahaya itulah yang mengindahkan hidup kita.

Jika kita selalu tidak sihat pun akan menjadikan hidup kita tidak indah. Hidup menjadi muram dan suram jika kita sakit. Masalah demi masalah akan menimpa. Kesedihan akan melekat di hati kita. Jadi, amalkan pemakanan yang baik dan berkhasiat. Praktikkan gaya hidup yang sihat. Jauhi perkara yang boleh menjejaskan kesihatan kita. Tiga nasihat ini sangat berguna. Berguna untuk menjadikan anda insan yang cergas dan sihat. Berguna untuk menjadikan anda cerdas dan pintar. Berguna untuk menjadikan hidup anda indah.

Jadi, fikir-fikirkan lah. Indahkan hidup anda setiap masa!

No comments:

Post a Comment