Wednesday, January 21, 2009

KEHIDUPAN BARU

Masa bergerak begitu pantas.Setiap kali masa bergerak, setiap kali itulah umur kita meningkat. Kita bagaikan meniti usia. Meniti sebuah kehidupan. Melayari suatu impian. Apakah yang sebenarnya kita cari?

Ada orang percaya kepada sebuah impian. Kata mereka, kita harus ada impian terlebih dahulu. Kemudian barulah datangnya kenyataan. Namun,ada pula yang kurang mempercayainya. Kata mereka impian hanyalah penghias hidup. Impian hanyalah angan-angan kosong. Apapun, kehidupan mestilah kita teruskan. Lalu, mahu atau tidak, kita bagaikan mencari sesuatu. Pencarian itu tidak akan berhenti jika kita masih bernafas. Apakah pencarian yang kita impikan itu tercapai? Atau apakah ia sekadar impian semata-mata?

Kita adalah kita. Dalam diri kita ada akal dan fikiran. Dalam hidup kita ada perasaan dan emosi. Kitalah yang seharusnya mengatur segala langkah kita. Kitalah yang sebetulnya mengemudikan kehidupan kita. Kitalah tuan yang sebenarnya kepada tubuh badan kita. Jika kita tidak berupaya memerintah diri kita, mana mungkin kita akan berupaya mengawal diri kita!






Ada tiga perkara yang harus anda fikirkan.
• Pertama, jika ada impian yang anda impikan, tetapkan matlamatnya. Kemudian bertanyalah kepada diri sendiri, adakah impian itu benar-benar berguna. Tanyalah juga , adakah impian itu boleh dicapai. Bagaimanakah untuk mencapainya.
• Kedua, jika ada perkara yang anda ingin lakukan, lakukannya. Terus lakukan segera. Jangan ragu untuk anda lakukannya. Lakukan dengan sebaik mungkin. Tanyalah pada diri anda, adakah perkara yang anda ingin lakukan itu mendatangkan kebaikan. Kalau tidak jangan lakukan!
• Ketiga, postitifkan fikiran negatif. Jika kita selalu berfikiran negatif, lambat laun kita akan hanyut. Jika kita berada di ambang kehanyutan, impian dan cita-cita akan terus terhanyut.

Jadikan kehidupan ini sebagai kehidupan yang sentiasa baru. Setiap hari harus ada perubahan. Perubahan itu mestilah yang positif belaka. Perubahan inilah yang sebenarnya memandu kita ke arah kecemerlangan.

Ada kalanya, ada orang yang tidak mahu perubahan. Bagi mereka, perubahan akan menghancurkan diri. Tetapi awas! Bila kita tidak mahu mengubah diri, maka kita akan diubah oleh keadaan. Hidup kita akan dikawal oleh keadaan.


Sebenarnya, kita ada kekuatan yang tersendiri. Kita ada tenaga yang tersendiri. Kekuatan untuk melakukan transformasi diri sebenarnya ada dalam diri kita. Namun, keadaan yang mengjadi penghalang kepada sesuatu perubahan. Kemelut hidup yang membuat kita seolah-olah tidak berdaya. Kita bagaikan tidak bertenaga untuk meniti sebuah perubahan.

Jadi baghaimanakah cara kita mengatasinya. Kita sebenarnya dibekalkan dengan kesedaran. Kesedaran inilah yang akhirnya akan mengawal selia segala kelemahan yang ada pada diri kita. Kesedaran ini yang akan berupaya mengembalikan kekuatan dan tenaga. Kesedaran yang akan membuat kita berfikir bahawa kegagalan itu bukan segala-galanya. Kegagalan bukanlah yang akhir terhadap segala-galanya.

Belajarlah dari pengalaman hidup. Ia guru kepada kita. Ia menjadikan kita cepat faham. Ia merangsang kita berfikir. Sama ada pengalaman diri sendiri atau pengalaman orang lain ia tetap aset yang berguna. Aset inilah yang akhirnya memperkaya hidup kita. Akhirnya kita akan dapat menentukan perubahan yang hendak kita lakukan.

Dalam diri kita, harus ada jiwa kepimpinan. Jiwa inilah yang akan memerintah diri kita daripada melakukan atau tidak melakukan sesuatu. Jika kita tidak ada jiwa kepimpinan, kita bagaikan hilang kemudi. Kita bagaikan belayar tanpa destinasi. Hidup akan dibelenggu keadaan yang tidak menentu. Lalu, kita akan terus hanyut dan hanyut. Hanyut dibawa arus yang deras.

Orang yang tidak dapat memimpin diri sendiri, tidak akan berupaya untuk memimpin orang lain. Orang inilah yang akan mendatangkan masalah kepada penghuni lain di dunia ini. Golongan inilah yang akan mencetuskan pelbagai pancoroba di dunia ini.

Dalam meniti kehidupan, campakkanlah sikap dan sifat berikut:
• Tidak bersemangat dan selalu kecewa
• Merasa beban hidup yang terlalu berat
• Tertekan dek perasaan
• Mudah menyerah sebelum mencuba
• Tidak percayakan diri sendiri
• Tidak berani mengambil risiko
Binalah satu pasarana hidup yang sempurna melalui usaha-usaha tertentu. Selalulah bertanya diri sendiri dengan soalan-soalan seperti yang berikut:
• Apakah impian yang ingin dicapai?
• Bagaimana kebahagiaan diri dapat dicari?
• Apakah yang dicari dalam hidup ini?
• Adakah hidup yang dimiliki sekarang bererti?
Hari ini, ciptakanlah satu perubahan. Segeralah lakukannya. Perubahan hidup harus sentiasa ada. Perubahan harus berpaksikan kemajuan. Perubahan harus ke arah yang boleh membantu memperbaiki diri sendiri dan orang lain. Hidup mesti sentiasa baru!





Baca selanjutnya...

Tuesday, December 23, 2008

INDAHKAN HIDUP ANDA!

Perhatilah bunga. Ada yang kembang mekar Ada yang kembang mewangi. Tak kurang yang kembang berseri-seri. Mekar mewangi menjadikan bunga itu kelihatan berseri-seri. Menawan dan menarik Pun begitu terdapat pula bunga yang layu. Layunya ia sebelum berkembang! Kenapa terjadinya demikian?

Hidup manusia pun begitu. Ada ketika kita gembira. Ada waktunya kita bertenaga. Tidak kurang juga yang bersemangat. Pun begitu, terdapat pula yang tidak gembira dan tidak bertenaga lalu menjadikan mereka tidak bersemangat. Hidup bagaikan satu kekosongan. . Kenapa ini harus berlaku?

Hidup hanya sekali. Matipun hanya sekali. Hidup akan bermakna jika kita ada pegangan. Kita berpegang perkara yang benar. Kita berpegang kepada prinsip yang betul. Maka jadikanlah hidup kita seindah yang mungkin. Berseri bak bulan purnama Sesegar embun pagi. Sewangi bunga cempaka.Jadikan mati kita juga bermakna. Mati meninggalkan nama. Bukan meninggalkan tembelang!

Benarlah kata pepatah bahawa dunia ini hanya pinjaman. Dipinjamkan sebentar kepada manusia. Dipinjamkan seketika untuk kita hidup. Maka dunia inilah pentas sebuah kehidupan. Dunia inilah tempat kita melayari hidup. Sama ada hidup jadi indah atau tidak bergantung kepada kita semua. Kita bagaikan pelakon. Melakonkan pelbagai watak. Ada watak baik. Tak kurang pula watak jahat. Watak baik mendatang manfaat. Watak jahat mendatangkan mudarat.

Sudah pasti kita diberi pilihan. Pilih hidup indah. Atau pilih hidup tidak indah. Pilihan ini ada kaitannya dengan matlamat hidup kita. Ini kerana kita sering terdengar manusia lebih gemar memilih watak-watak tidak baik di pentas dunia ini.. Watak-watak inilah yang sangat popular. Akan tetapi, manusia lupa akan kesengsaraan. Lupa pada kesusahan. Lupa akan kemusnahan.

Perkara yang jahat gemar dilakukan.Tipu sana tipu sini. Curi sana curi sini. Bergaduh pula sesama sendiri. Bermasam muka dengan banyak orang. Tidak bertegur sapa dalam waktu yang berpanjangan. Bermusuhan sesama saudara. Menfitnah sana-sini. Apakah erti semua ini? Hidup tentu tidak akan indah!

Kenapa tidak jadikan hidup kita indah? Indah di mata indah pula di hati. Indah di mata kita indah lagi di mata orang lain! Bagaimanakah cara untuk mengindahkan hidup kita?
• Anda mesti fikirkan apa yang ingin anda cari dalam hidup anda.
• Anda mesti tahu bagaimana mencapainya.




Untuk mencari keindahan dalam hidup anda bukanlah sesuatu yang menyukarkan. Yang sukar ialah bagaimanakah cara untuk mengindahkan hidup anda. Kadang-kala kita terlupa untuk memikirkan bagaimanakah cara yang sepatutnya untuk kita mengindahkan hidup kita. Ada beberapa faktor keadaan ini berlaku.
• Kita terlalu sibuk dan leka dengan tugasan harian sehingga kita tidak mengutamakan apa yang sebenarnya kita cari dalam hidup ini.
• Kita tidak pernah ada pegangan hidup

Jadi, fikirkanlah sesuatu yang indah. Fikirkan keindahan untuk mengisi hidup anda. Ada beberapa contoh untuk anda fikirkan. Antaranya:
• Punyailah ramai rakan dan kenalan
• Impikan kesenangan dan kemewahan
• Dekati diri dengan tuhan
• Jadikan diri disenangi ramai
• Impikan kesihatan dan kesejahteraan yang berpanjangan

Ingat! Doa itu indah. Doa itu suatu permohonan daripada Yang Maha Esa. Berkat atau tidak doa kita bergantung kepada kesungguhan dan keikhlasan. Berdoalah selalu. Berdoalah apa yang kita hajati. Mohonlah dengan penuh kesungguhan dan kesabaran. Sokonglah permohonan kita dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Lipat ganda usaha selalu. Pun begitu, berdoa tanpa usaha tidakakan mendatangkan apa-apa makna.

Hidup tidak akan indah jika kita sepi. Hidup tidak indah jika hati kita kosong. Kita bagaikan layu sebelum berkembang. Kita bagaikan mati sebelum ajal. Kita kesunyian kerana kita dibelenggu kesepian. Kadang-kala kita memerlukan rakan untuk bercerita. Jika kita kekurangan rakan atau sahabat, hidup kita bagaikan suram dan tidak indah. Carilah rakan atau sahabat yang sesuai. Rancanglah strategi yang baik untuk mendapatkan rakan atau sahabat yang ramai.

Hidup tidak indah jika kita sering kekusutan. Kusut kerana kemampuan kewangan yang terhad. Kusut kerana pendapatan kita yang sering tidak cukup. Belum sampai cukup bulan, wang sudahpun kehabisan. Lalu jadilah hidup kita serba tidak menentu. Kita gagal menempatkan diri kita di sebuah zon kehidupan yang selesa.Jika ini terjadi, susun langkah dan strategi yang sesuai. Cari jalan bagaimanakah untuk meningkatkan pendapatan yang halal. Jika ini tidak diatasi, sesuatu yang indah hanya akan tinggal impian semata-mata.

Dekatilah diri dengan Yang Maha Esa. Kita perlu memohon kepada Nya. Kita perlu menyatakan hasrat kita kepada Nya. Hidup akan pasti menjadi indah jika kita diberkati Tuhan. Jauhi larangan Tuhan. Dekati diri dengan apa yang diperintah. Jika dua perkara ini diamalkan, hidup pasti akan ada cahaya. Cahaya itulah yang mengindahkan hidup kita.

Jika kita selalu tidak sihat pun akan menjadikan hidup kita tidak indah. Hidup menjadi muram dan suram jika kita sakit. Masalah demi masalah akan menimpa. Kesedihan akan melekat di hati kita. Jadi, amalkan pemakanan yang baik dan berkhasiat. Praktikkan gaya hidup yang sihat. Jauhi perkara yang boleh menjejaskan kesihatan kita. Tiga nasihat ini sangat berguna. Berguna untuk menjadikan anda insan yang cergas dan sihat. Berguna untuk menjadikan anda cerdas dan pintar. Berguna untuk menjadikan hidup anda indah.

Jadi, fikir-fikirkan lah. Indahkan hidup anda setiap masa!
Baca selanjutnya...

Monday, December 22, 2008

DUNIA INI MILIK SIAPA?.

Dunia kita semakin sempit. Sempadannya bagaikan sudah hilang. Kita mudah ke mana sahaja. Dalam waktu yang singkat kita boleh ke sana kemari.Kita mudah bertemu sesiapa sahaja yang kita mahu. Apakah petandanya ini?
Masa pula berjalan pantas. Pantas sepantasnya. Lalu kita menjadi leka. Kita bagaikan tidak dapat mengejar sesuatu yang kita ingini. Kita cepat jadi binggung. Kita juga bagaikan tidak sedar bila sesuatu itu akan berlaku. Kenapakah ini berlaku? Adakah kita yang terlalu lambat melangkah. Atau masa yang terlalu cepat meninggalkan kita?

Penduduk semakin ramai. Yang baik pun banyak. Yang jahat pun ramai. Yang jahat tetapi berpura-pura jadi baik pun tidak kurang ramainya. Pokoknya, kita sentiasa berhadapan dengan pelbagai situasi dan kerenah. Ada kalanya situasi ini membunuh jiwa dan raga kita. Ada kalanya ia bagaikan madu dan racun kita.
Oleh kerana ramainya orang kita bagaikan diajak berlumba. Berlumba untuk mencipta sebuah kehidupan yang kita ingini. Berlumba untuk mencapai apa yang kita hajati. Ada yang menganggap kalau ramai orang maka akan kuranglah peluang.Bagi mereka, peluang semakin tipis. Adakah dunia ini bukan milik kita?
Jangan lekas berfikiran begitu. Kita harus positifkan yang negatif. Jangan negatifkan yang positif. Fikiran mesti ke hadapan selalu. Jangan biarkan perasaan mendahului fikiran! Kalau perasaan mendahului fikiran, kita cepat jadi lesu. Kita akan layu sebelum berkembang. Kita juga akan mati sebelum mati.
Ada orang melihat masalah itu sebagai peluang. Ada pula melihat peluang itu sebagai masalah Yang melihat masalah itu sebagai peluang sebenarnya nampak apa yang dilihat. Yang melihat peluang itu sebagai masalah pula sebenarnya tidak nampak apa yang dilihatnya. Maka benarlah kata pepatah, kita hanya memandang dengan sepasang mata. Kita tidak pandang dengan hati dan fikiran.
Ada yang kata mengalah itu menangDan menang itu kalah.Mengalah untuk menang adalah satu strategiHidup mesti dipenuhi banyak strategi
Ada yang bersetuju diam itu satu kejayaan dan bising itu satu ketewasanYang melihat sampah sebagai wang pula bagaimana
Yang melihat wang itu sebagai masalah pula bagaimana?
Ada yang mahu senang dahulu .Maka kesenangan yang dicari akan jadi pendek.
Takut kerana salah ada petandanyaSalah kerana takut pula lain konotasinya.
Di manakah titik kehebatan kita?
Dunia ini milik siapa?
Kerja keras atau kerja kuat?
Bijak kerja bijak belajar, bijak bertindak?
Waktu adalah sumber pelayaran sebuah kehidupan. Kita bagaikan belayar. Belayar mengharungi samudera. Samudera pula ada kalanya ganas dan tidak pernah bersimpati. Lalu tidak hairan ada yang hanyut. Ada pula yang tenggelam. Tidak kurang yang gagal sampai ke destinasi yang ditujui.

Oleh : Dr. Abdul Jalil Othman
Baca selanjutnya...

KATA- KATA BIJAK

Ada orang pandai berkata-kata. Ada pula yang bijak berkata-kata. Namun, kedua-dua ini ada perbezaannya. Yang pandai berkata-kata mungkin ada kepentingannya. Yang bijak berkata-kata pun mungkin ada kepentingannya juga.
Sejak manusia dilahirkan ke dunia ini, usia mereka akan bertambah. Umur akan meningkat. Bahasa merekapun turut berkembang. Apabila usia meningkat, kematangan juga turut meningkat. Akhirnya kematangan berkata-kata juga turut berlaku.

Bukankah kata-kata lebih tajam dari mata pedang?Orang yang pandai berkata-kata mungkin ada tujuan yang tersirat. Begitu juga halnya dengan orang yang bijak berkata-kata. Ada yang cuba menyedapkan hati orang lain. Tak kurang juga yang cuba memikat hati. Pokoknya segala ucapan dan kata-kata boleh mendatangkan maksud dan tujuan tertentu.
Melalui kata, manusia boleh jahanam. Melalui kata juga manusia boleh selamat. Kata menghidupkan orang. Kata juga boleh mematikan manusia! Kata-kata yang boleh menjahanamkan orang adalah kata-kata yang berbisa. Yang boleh mematikan orang pula terdiri daripada kata-kata yang berbentuk celaan dan hinaan! Lebih berbisa daripada sebilah keris. Lebih tajam daripada sebilah pedang.
Ada kata-kata yang boleh menghidupkan jiwa seseorang. Kata-kata yang berbentuk dorongan boleh menghidupkan jiwa manusia. Kata-kata yang berbentuk nasihat boleh memberi petunjuk kepada manusia.
Apakah maksud kata-kata bijak?Kata-kata bijak adalah kata-kata yang bermakna. Kata-kata ini dapat mendatangkan makna yang berguna kepada kita Kata-kata itu ada dorongan. Kata-kata itu ada petunjuk dan nasihat. Kata-kata itu boleh menjadikan kita senang apabila mendengarnya. Ia tidak menyakitkan hati kita. Ia boleh mengubat hati dan perasaan kita.
Bagaimana memilih kata-kata bijak?Memilih kata-kata bijak tidaklah sesukar yang disangkakan. Cara mengamalkannyalah yang agak sukar. Cara-cara memilih kata-kata bijak harus mengikut keadaan dan kesesuaiannya. Antaranya:
• Pilih kata-kata yang dapat mengambil dan menambat hati sesorang• Gunakan intonansi yang sesuai sewaktu mengucapkan kata-kata tersebut• Renungkan mata sewaktu kita bercakap bagi menunjukkan keikhlasan kita

Cara mengamalkan kata-kata bijakAda ketikanya, bila kawan atau rakan kita dalam kesusahan, mereka memerlukan seseorang untuk berkata-kata. Kawan yang baik adalah kawan yang dapat memberi kata-kata perangsang. Kata-kata yang dipilih itu haruslah bersesuaian dengan situasi yang dialaminya.
Ada ketikanya pula kita berhadapan dengan orang yang terlalu sugul. Sugul kerana kejadian buruk menimpa diri mereka. Jadi, apakah kata-kata yang sesuai untuk kita gunakan? Apakah kata-kata yang harus kita pilih bagi mententeramkan keadaan sugul mereka? Adakah cukup sekadar kita bersimpati?
Ada ketikanya kita bertemu dengan orang yang dalam keadaan gembira. Contohnya, mereka berjaya mendapat keputusan peperiksaan yang baik. Atau seseorang itu berjaya dinaikkan pangkat, mendapat cahaya mata, bertemu jodoh dan sebagainya. Apakah kata-kata bijak yang harus kita ungkapkan untuk mereka? Apakah ucapan atau kata-kata bijak sehingga dapat menunjukkan yang kita sentiasa bersama mereka meraikan kegembiraan mereka?
Kepentingan mengamalkan kata-kata bijak
Soal pemilihan kata-kata bijak sangat penting. Ini kerana, kata-kata bijak akan dapat:• Menunjukkan sokongan kita kepada seseorang• Menggambarkan kita sebenarnya rakan atau orang yang berguna kepada mereka• Menjalinkan hubungan yang akrab antara satu sama lain
Ingatlah! Kata-kata bijak adalah kata-kata keramat. Kata-kata ini bukan berbentuk hipokrasi. Kata-kata ini bukan hiasan mulut semata-mata. Kata-kata bijak harus dapat memperlihatkan kebijaksanaan kita. Kata-kata ini memerlukan keikhlasan dari hati yang tulus.
Tidak ada gunanya kita melafazkan kata-kata kepada seseorang secara berpura-pura. Kita tidak harus berselindung di sebalik kata-kata manis kita. Pujian yang keterlaluan misalnya, boleh menimbulkan tanda tanya. Pujian yang dibuat-buat tidak memberi apa-apa makna kepada seseorang. Kata-kata yang keterlaluan dan tidak sesuai dengan konteks bukan kata-kata bijak. Ucapan terima kasih dan mohon maaf adalah contoh kata-kata keramat. Kata-kata ini lahir daripada tindakan yang bijak. Ini kerana apabila seseorang berterima kasih kepada seseorang, ia memperlihatkan tanda penghargaan. Begitulah juga halnya dengan kata-kata memohon maaf. Memohon maaf atas sesuatu kesilapan memperlihatkan tanda kesedaran. Contoh ini sebenarnya kata-kata bijak yang harus ada di bibir setiap orang. Kata-kata bijak ini setidak-tidaknya menggambarkan keikhlasan hati seseorang asalkan dilakukan secara positif.

Kata-kata bijak harus sentiasa dipraktikkan. Merdukah kata-kata kita? Enakkah kata-kata kita? Berbisakah kata-kata kita? Semuanya terletak di sanubari kita semua.

Oleh : Dr. Abdul Jalil Othman
Baca selanjutnya...